Filed under: Books, Experience, Kehidupan, Life, Pengalaman, Peristiwa, Personal, Travel, Writing | Tags: dolphin, ikan, iran, kapal, Kehidupan, lautan, lumba-lumba, paus, Pengalaman, sri lanka, whales
Malam tadi saya menonton tentang seorang hos yang telah pergi ke salah satu pulau di Sepanyol. Di sana dia berpeluang untuk menaiki bot ke tengah laut bagi melihat paus dengan lebih dekat lagi. Dia juga sempat ber’snorkling’ untuk mendekati kehidupan mamalia terbesar di dunia itu.
Ia mengingatkan saya sekitar dua bulan yang lalu ketika kapal tempat saya bekerja sedang dalam perjalanan ke Bandar Imam Khomeini (BIK) di negara Iran. Sedang kapal mendekati kawasan yang di gelar ‘Dondra Head’ (atau kepala Dondra hehhehe) di selatan Sri Lanka, saya yang ketika itu sedang bertugas di bridge (panggilan untuk bahagian di kapal tempat pengemudian), telah terlihat air yang dipancut dari permukaan air ke udara. Melihatkan keadaan itu, saya capai binokular dan dapat dilihat dengan jelas bahagian belakang ikan paus tersebut. Selepas berberapa ketika barulah saya sedari terdapat lebih kurang 15 hingga 20 ekor ikan paus sedang berlegar-legar di kawasan tersebut. Saya yang baru pertama kali berpeluang melihatnya, tidak henti-henti meneropong ke arah kumpulan-kumpulan paus tadi. Memang sudah agak lama sejak mula berlayaatau bekerja di kapal baru itu lah kali pertama saya mendapat peluang melihat dengan mata sendiri ikan paus. Walaupun hanya sekitar 80 hingga 100 meter jaraknya ‘mereka’ dari kapal saya, tapi itu sudah cukup memadai bagi saya mengenangkan peristiwa kali pertama melihat ‘mereka’.
Yang sebenarnya, saya ingin menceritakan tentang satu lagi kehidupan laut (yang ini sudah kerap saya temui ketika di kapal) iaitu ikan lumba-lumba atau dalam bahasa Inggerisnya Dolphin. Perkara ini terjadi ketika itu saya masih lagi dalam praktikal di atas kapal (sebelum pulang ke akademi dan menjadi pegawai). Saya masih ingat nama kapal itu ialah M.T Bunga Melati 6 (M.T itu bermaksud Motor Tanker). Saya sedang mengecat di atas dek dan tubuh saya membelakangi lautan. Cuaca ketika itu sangat baik, laut umpama cermin (sea like a mirror – seperti selalu digambarkan oleh seorang pelaut untuk menrangkan betapa tenangnya air laut ketika itu), angin sepoi-sepoi bahasa. Walupun agak panas di atas dek, saya cuba untuk menghiburkan hati sendiri (yang berjauhan dari keluarga) dengan menyanyi perlahan, cukup untuk hanya didengari oleh saya. Tiba-tiba saya terdengar seperti sesuatu yang agak besar dilemparkan ke dalam air, kerana terdengar seperti sesuatu jatuh ke permukaan air laut. Pada mulanya saya membiarkannya tetapi bunyi itu seperti lebih kerap dan membuatkan saya bangun dari mengecat dek dan melihat ke arah lautan (kebetulan ketika itu kapal fully loaded – bererti penuh dengan muatan, dan jarak diantara dek dengan permukaan air agak dekat). Dan agak teruja saya bila terlihatkan berberapa ekor ikan lumba-lumba sedang melompat-lompat ke udara sambil melakukan gerakan yang dapat dilihat di pertunjukan di zoo. Saya yang masih lagi begitu teruja memandang ke arah bridge dan saya dapati 2nd Mate (pegawai / malim kedua) juga sedang memerhatikan ikan luma-lumba tersebut. Jarak ikan-ikan itu dari tempat saya berdiri sekitar 5 meter sahaja membuatkan saya tersenyum sendirian melihat telatah ‘mereka’. Terlintas dan terfikir pula saya tentang pertunjukan-pertunjukan ikan lumba-lumba dan juga ikan paus yang ditonton di TV, bagaimana pula ikan-ikan ini dapat melakukan pergerakan yang saya anggap ‘acrobatic’ itu sedangkan ianya dari jenis yang liar? Agak lama juga saya berdiri di tepi railing dek memerhatikan ikan-ikan tadi melompat-lompat ke udara hingga hilang dari pandangan. Termenung saya memikirkan perkara itu ketika di kabin pada sebelah petangnya. Adakah manusia (pelatih ikan paus dan lumba-lumba) yang mengajar ‘mereka’ untuk melakukan pergerakan seperti yang selalu kita tonton atau memang lumrah kehidupannya untuk berbuat demikian? Langsung saya membuat kesimpulan bahawa pelatih ‘mereka’ itu cuma memberikan isyarat sahaja sedangkan makhluk ciptaan-Nya itu memang telah tahu akan kemampuannya seperti yang di ‘ajar’ PENCIPTANYA.
MahsihLuzd
Filed under: Books, Buku, Experience, Life, Music, Penulis, Peristiwa, Personal | Tags: Books, Buku, Diri, Kejadian, Kisah Seorang Orang, Orang, Pengalaman, Peristiwa, Personal, Teman
Kisah Seorang Orang. Entah mengapa tajuk atau nama itu yang dipilih dalam memulakan blog ini. Yang pastinya, hidup seseorang orang itu penuh dengan pelbagai peristiwa dan kejadian. Dan kerana kepelbagaian itu lah menjadikan dia seorang orang. Dari mula kelahirannya, hinggalah kepada alam pembesaran, tidak kira samada fizikal atau mental pemikirannya. Kesemuanya membentuk peribadi dan corak kehidupan yang dipilihnya, mahupun yang akan dipilih olehnya satu masa kelak.
Bagi diri saya sendiri, menulis blog atau jurnal ini sekadar untuk berkongsi atau mungkin juga meluahkan yang terpendam dan direndam di sebuah ruang sempit, sunyi serta kecil dalam jiwa. Saya bukanlah seorang penulis yang pandai bermain kata-kata namun begitu tidak juga ada kesalahannya dalam mencuba kesasteraan naluri hati ini. Pernah mencuba untuk meluahkan sesuatu dalam bentuk tulisan (buku), tapi hingga kini belum pun tercapai akan hajat yang itu. InsyaAllah jika diasah belakang parang lagikan tajam. Cuma masa dan ruang itu sahaja belum tiba dalam merealisasikannya.
Satu masa dulu ketika di zaman persekolahan, andai kata saya diketahui oleh teman-teman akan bentuk penulisan saya dan keinginan untuk menulis, pasti akan ditertawakan. Agak naif ketika itu bila tidak ingin untuk melawan segala hilai tawa itu dalam meneruskan atau lebih tepat lagi membongkar ruang sempit dan sunyi di hati ini. Saya lebih merasa malu untuk diketahui umum akan perkara ini. Dan dengan itu maka terpendamlah segala macam rendaman peristiwa yang tidak dapat dilepaskan dari lingkungan sempit tadi. Memang kedewasaan dapat membuat seseorang lebih berani dan tekun dalam mencuba dan menjalani sesebuah kehidupan. Bagi diri saya sendiri buat masa ini terasa lebih bersedia dalam meneruskan pembongkaran yang satu ini. Tidak dinafikan juga keadaan atau corak kehidupan sesuatu keadaan peristiwa juga memainkan peranan dalam membentuk semua ini. Andai saya di tempat yang betul, apa saja yang difikirkan betul akan betul kejadiannya. Jika saja mereka lebih menghargai sastera sesebuah negara atau penempatan, pasti saja diri ini sudah pun menjadi berjaya seperti yang lain sebelumnya. Malangnya, sangat sedikit bilangannya jika dibandingkan dengan pemilihan arah pemikiran serta kecenderungan mereka. Salah diri sendiri juga bila tidak berkeras di masa dulu. Andai saja saya seperti kini, semua itu akan pasti adanya…..
MahsihLuzd – VOPAK#1 Ulsan, Korea Selatan