Kisah Seorang Orang


Pasti Adanya

Kisah Seorang Orang. Entah mengapa tajuk atau nama itu yang dipilih dalam memulakan blog ini. Yang pastinya, hidup seseorang orang itu penuh dengan pelbagai peristiwa dan kejadian. Dan kerana kepelbagaian itu lah menjadikan dia seorang orang. Dari mula kelahirannya, hinggalah kepada alam pembesaran, tidak kira samada fizikal atau mental pemikirannya. Kesemuanya membentuk peribadi dan corak kehidupan yang dipilihnya, mahupun yang akan dipilih olehnya satu masa kelak.

Bagi diri saya sendiri, menulis blog atau jurnal ini sekadar untuk berkongsi atau mungkin juga meluahkan yang terpendam dan direndam di sebuah ruang sempit, sunyi serta kecil dalam jiwa. Saya bukanlah seorang penulis yang pandai bermain kata-kata namun begitu tidak juga ada kesalahannya dalam mencuba kesasteraan naluri hati ini. Pernah mencuba untuk meluahkan sesuatu dalam bentuk tulisan (buku), tapi hingga kini belum pun tercapai akan hajat yang itu. InsyaAllah jika diasah belakang parang lagikan tajam. Cuma masa dan ruang itu sahaja belum tiba dalam merealisasikannya.

Satu masa dulu ketika di zaman persekolahan, andai kata saya diketahui oleh teman-teman akan bentuk penulisan saya dan keinginan untuk menulis, pasti akan ditertawakan. Agak naif ketika itu bila tidak ingin untuk melawan segala hilai tawa itu dalam meneruskan atau lebih tepat lagi membongkar ruang sempit dan sunyi di hati ini. Saya lebih merasa malu untuk diketahui umum akan perkara ini. Dan dengan itu maka terpendamlah segala macam rendaman peristiwa yang tidak dapat dilepaskan dari lingkungan sempit tadi. Memang kedewasaan dapat membuat seseorang lebih berani dan tekun dalam mencuba dan menjalani sesebuah kehidupan. Bagi diri saya sendiri buat masa ini terasa lebih bersedia dalam meneruskan pembongkaran yang satu ini. Tidak dinafikan juga keadaan atau corak kehidupan sesuatu keadaan peristiwa juga memainkan peranan dalam membentuk semua ini. Andai saya di tempat yang betul, apa saja yang difikirkan betul akan betul kejadiannya. Jika saja mereka lebih menghargai sastera sesebuah negara atau penempatan, pasti saja diri ini sudah pun menjadi berjaya seperti yang lain sebelumnya. Malangnya, sangat sedikit bilangannya jika dibandingkan dengan pemilihan arah pemikiran serta kecenderungan mereka. Salah diri sendiri juga bila tidak berkeras di masa dulu. Andai saja saya seperti kini, semua itu akan pasti adanya…..

 

MahsihLuzd – VOPAK#1 Ulsan, Korea Selatan


No Comments Yet so far
Leave a comment



Leave a comment
Line and paragraph breaks automatic, e-mail address never displayed, HTML allowed: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <pre> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>